Saturday, October 31, 2009

LOMPANG DALAM PENDIDIKAN: APA REAKSI KITA?

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php

Sengaja aku memetik FPK ini kerana aku ingin mengingatkan diri aku sendiri bahawa inilah sebenarnya tujuan aku berada di sini. Bukannya kerana aku lupa akan prinsip asas ini tetapi ia hanyalah sekadaruntuk memotivasikan diri bahawa aku masih berada dijalan yang betul, Aku juga ingin terus menanamkam semangat bahawa aku masih lagi percaya pada diri aku sendiri dan aku yakin bahawa apa yang aku lakukan selama ini adalah lahir dari hati yang tulus berserta dengan niat yang ikhlas. Dengan segala kudrat dan kesempatan yang ada, akan ku terus berjuang.

Berjuang di bidang pendidikan ini sebenarnya adalah lebih perit dari apa yang aku sangkakan. Kalau dahulu, menjadi guru dianggap sebagai satu profesion yang mudah dan senang tetapi sekarang itu hanyalah satu kisah lampau. Kalau nak diceritakan, rasanya tak cukup ruangan ini.

Dikesempatan kali ini ini aku ingin bercakap mengenai lompang dalam pendidikan.

Gurubashid dalam blognya; http://gurubashid.com/blog/strategi/pendidikan-negara-bertaraf-dunia.html menyatakan “Kita tentu ingin melihat hasil keputusan peperiksaan sekolah kita meningkat setelah usaha dibuat ke atas lompang yang benar-benar memerlukan perubahan sebagai lawan kepada agakan, sangkaan dan rasa-rasa sahaja.”

Bagi guru-guru, lompang adalah ibarat suatu mimpi ngeri kerana lompang dalam pendidikan membawa makna bahawa bahawa pelajar-pelajar ini keciciran dalam pembelajaran terdahulu. Kamus DBP Edisi 3 mendefinisikan keciciran sebagai ketinggalan (dlm proses kemajuan dsb).

Masalah keciciran ini bukanlah sesuatu yang baru dan asing bagi kita. Masalah keciciran di kalangan murid sekolah merupakan salah satu dari dua perkara yang menjadi tumpuan dalam Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK-9). Datuk Seri Hishamuddin Hussien pernah menyatakan bahawa pihak kementerian telah mengenalpasti perkara tersebut bagi memantapkan lagi program yang bakal dilaksanakan oleh kementeriannya dalam memajukan lagi sistem pendidikan yang terdapat di negara ini. Dan pada hari ini, Pengarah JPN Pahang, menyatakan kebimbangan beliau kerana terdapat 8,813 pelajar Tahun 1 dan 3 yang dikategorikan sebagai buta huruf kerana masih belum mampu menulis dengan baik. (Sinar Harian, 31 Okt 2009).c

Dalam membicarakan soal keciciran ini, mungkin mudah untuk kita menyalahkan orang yang terdahulu. Iyalah, sebagaimana aku, aku mungkin boleh menyalahkan guru-guru di menengah rendah. Dan guru-guru di menengah rendah pula mungkin akan menyalahkan guru-guru di sekolah rendah. Guru-guru sekolah rendah pula mungkin akan menyalahkan guru-guru tadika…..dan begitulah seterusnya. Dan babak menyalahkan antara satu sama lain ini akan menjadi tak ubah la seperti lagu kanak-kanak, Bangau Oh Bangau kerana SESUNGGUHNYA, MENYALAHKAN ORANG LAIN ITU AMAT MUDAH BERBANDING DENGAN MEMBERIKAN IDEA BERNAS BAGI SAMA-SAMA MENYELESAIKAN MASALAH.

Dari sudut penguasaan bahasa, KBSR telah mengariskan matlamat bahawa:
1. pelajar akan menguasai bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
2. menguasai kemahiran asas berbahasa iaitu bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah;
3. bertutur, membaca, menulis dan memahami bahasa Inggeris selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua;
http://kdckdpm06.bravehost.com/kbsr.htm

Dari sudut realiti keadaan ini tidak berlaku secara menyeluruh kerana masih lagi ada pelajar yang masih tidak mampu menguasai kemahiran 3M walaupun mereka telah menamatkan sesi persekolahan rendah mereka. Aku tidak menyalahkan mana-mana pihak, terutama sekali guru-guru sekolah rendah kerana aku juga seorang guru. Dan aku amat yakin dan percaya bahawa semua guru di Malaysia ini sedaya mungkin cuba melaksanakan tanggung jawab mereka.

Cuma kadangkala, kerana perbagai faktor seperti bebanan kerja, jumlah masa mengajar yang tinggi, kekangan masa oleh aktiviti-aktiviti sekolah yang lain, tahap pembelajaran pelajar yang berbeza dan komitmen terhadap tanggung jawab yang lain, kita akan menjadi selektif. Tidak hairan kalau ada diantara kita akan memberikan tumpuan yang lebih kepada kelas-kelas peperiksaan. Kerana jatuh bangunnya sesebuah sekolah atau guru itu akan diukur melalui periksaan.

Dan kadangkala aku terfikir bahawa kehebatan seseorang guru itu sebenarnya bergantung pada pelajarnya. [Pelajar cerdik = guru hebat : pelajar lemah = guru………?]

Lompang dalam pendidikan ini harus ditangani dengan segera. Jika terus dibiarkan, kesannya adalah membinasakan. Cubalah kita bayangkan apa yang akan berlaku pada para pelajar yang keciciran ini sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan untuk memastikan mereka menguasai kemahiran yang sepatutnya. Masa depan mereka mungkin ibarat telur berada di hujung tanduk kerana terlalu banyak kamahiran-kemahiran asas yang tidak mampu mereka kuasai. Kesannya, mereka sudah pastinya tidak akan mampu mencapai tahap minimum dalam SPM. Sebagai akibatnya, impian mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tentunya tidak akan tercapai. Mungkin kita harus mengambil iktibar dari pepatah Melayu; MENCEGAH ITU LEBIH BAIK DARI MERAWAT.

Wassalam….

No comments:

Post a Comment